Surat palsu dari “Urusan Seri Paduka Baginda”

Jangan Terpedaya Surat Palsu: Kisah Benar Saya Dituduh Scammer Online

Baru-baru ini, saya dikejutkan dengan satu kejadian pelik, ayah saya di kampung terima sepucuk surat yang kononnya daripada “Urusan Seri Paduka Baginda”. Siap ada macam cop biru rasmi tapi tak jelas dan alamat surat itu pun betul-betul tertulis nama dan alamat saya. Ayah, sebagai bapa yang prihatin, buka surat tersebut dan terkejut besar. Kandungannya menyatakan saya sedang disiasat atas kesalahan scam online dan diarahkan untuk melaporkan diri di Balai Polis Cyberjaya.

Mula-mula kami ingatkan ini betul. Tapi pelik juga, saya dah lama tak duduk Cyberjaya dan tak pernah pula terlibat dalam sebarang urus niaga meragukan. Saya pun terus ambil tindakan, telefon balai polis Cyberjaya sebanyak tiga kali semata-mata nak sahkan nombor kes yang tertera dalam surat tu: xxxx/xx. Jawapan daripada pihak polis jelas, TIADA rekod kes sebegitu. Saya siap hantar screenshot surat kepada polis dan polis mengesahkan surat tu adalah PALSU. Ini sebanyak 3 kali panggilan kepada polis Cyberjaya.

Yang lebih membingungkan, dalam surat palsu tu, mereka sertakan sekali nama dan nombor anggota polis yang betul dan sah. Macam mana scammer boleh tahu maklumat tu? Itu yang buat saya termenung lama lah. Dah la huruf besar dan huruf kecil tunggang-langgang.

Tapi saya bersyukur sebab saya tak terus panik atau buat bayaran. Logiknya, takkan nak bayar kepada individu bila melibatkan institusi penguatkuasa undang-undang? Semestinya urusan rasmi akan melalui kaunter atau saluran institusi yang sah.

Saya tahu punca semua ni mungkin dari pendaftaran lama saya dengan beberapa platform KYC yang saya pernah cuba dulu. Mungkin salinan IC saya disalahguna atau dijual oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Sebab tu sekarang saya memang menjaga privasi saya, sebab takut benda-benda macam ni jadi dan bagi kesan buruk pada keluarga kita. Bayangkan ibu bapa saya risau tak tentu hala sebab satu surat yang sebenarnya palsu semata-mata.

Saya juga sedih dan marah sebab penipuan zaman sekarang makin halus. Depa bukan main reka-reka kosong, tapi mereka boleh buat surat macam betui dan selitkan info betul untuk buat orang percaya. Mujur saya masih waras dan tenang. Dan paling penting, saya tahu saya tak salah. Tapi bukan semua orang akan tenang bila dapat surat macam ni, ramai yang mungkin terus bayar kerana takut. Saya pula, bertindak bak kata pepatah extended; “takut kerana salah, berani kerana Allah Taala, saya di pihak yang benar”.

Saya kongsi kisah ni bukan nak buka aib, tapi sebagai iktibar. Jangan mudah panik. Sahkan dulu dengan pihak berkuasa. Jangan sebarangan buat bayaran. Dan kalau anda pernah daftar mana-mana platform sebelum ni, jaga maklumat peribadi anda. Dunia digital ni boleh jadi perangkap bila kita leka. Nak tipu orang kampung pun ya jugak kan? Masalahnya, bukan semua orang kampung tak pandai membaca dan berfikir.

Akhir kata, kalau anda nak belajar atau guna servis saya dalam dunia dagangan dan pelaburan, boleh saja — tapi tolong baca dan fahami dulu syarat dan terma. Saya bukan scammer, dan saya tak nak anda jadi mangsa scammer juga. Jaga diri, jaga PRIVASI DATA, dan semoga Allah lindungi kita semua.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *