
Dalam konteks kajian ini, konsep leverage dalam urus niaga tukaran mata wang asing (forex) melalui platform internet diberikan takrif yang berbeza daripada konsep leverage dalam pinjaman konvensional.
Leverage didefinisikan sebagai satu bentuk jaminan atau kemudahan sementara yang disediakan oleh pihak broker kepada pedagang (trader) untuk membolehkannya memasuki pasaran dengan nilai yang lebih besar berbanding modal sebenar yang dimiliki.
Konsep ini tidak berbentuk pinjaman mutlak kerana tidak melibatkan bayaran faedah (riba), dan tidak memindahkan hak milik ke atas modal tambahan tersebut kepada pedagang. Broker hanya menyediakan akses untuk urus niaga dalam jumlah besar berdasarkan ekuiti sedia ada dalam akaun pedagang.
Menurut para pengkaji, leverage dalam forex lebih hampir kepada kontrak mu‘awadah tidak mutlak, iaitu satu bentuk kontrak pertukaran yang pada permulaannya bersifat tabarru’ (sumbangan atau bantuan tanpa balasan), tetapi berakhir dengan mu‘awadah (pertukaran dengan ganjaran).
Dalam hal ini, broker menyediakan jaminan sementara tanpa meminta sebarang bayaran tambahan secara langsung atau syarat yang membawa kepada unsur riba, dan pedagang pula hanya menanggung kerugian berdasarkan jumlah ekuiti sebenar yang didepositkan ke dalam akaun.
Para pengkaji juga memetik pandangan ulama dan prinsip fiqh yang menyatakan bahawa hukum sesuatu urus niaga bukan semata-mata berdasarkan istilah, tetapi berdasarkan cara pelaksanaan (modus operandi). Maka, penggunaan istilah “leverage” tidak wajar disamakan serta-merta dengan “pinjaman”.
Dalam sistem leverage forex ini, tiada unsur paksaan, riba atau gharar yang jelas berlaku, dan kontraknya juga dilaksanakan secara bertulis serta dipersetujui secara rela oleh kedua-dua pihak.
Berbeza dengan pinjaman bank yang memindahkan hak milik dana kepada peminjam dan menuntut bayaran balik dengan caj perkhidmatan atau faedah, leverage dalam forex adalah bersifat jaminan akses semata-mata, dan broker boleh menarik balik kemudahan tersebut bila-bila masa jika ekuiti pedagang susut melebihi margin yang ditetapkan. Oleh itu, risiko ditanggung sepenuhnya oleh pedagang berdasarkan modal sebenar yang dilaburkan sahaja.
Secara keseluruhannya, leverage dalam forex melalui platform internet tidak wajar dikategorikan sebagai pinjaman secara mutlak. Kajian ini menyimpulkan bahawa bentuk leverage ini boleh diharuskan menurut hukum syarak kerana ia memenuhi prinsip-prinsip asas muamalat Islam dan maqasid syariah, antaranya keadilan, bebas daripada riba, tidak menindas, serta melibatkan kerelaan kedua-dua pihak.
Leveraj dalam forex hari ini hendaklah dilihat sebagai satu kemudahan (taysir) dalam sistem perdagangan moden selagi pelaksanaannya selari dengan kehendak syariah.
P.s: Kajian ini merujuk kepada forex spot akaun real qabd hukmi.

Mommy Trader. Aset pilihan utama ialah Metal. Ada sistem sendiri; ringkas tapi disiplin. Saya percaya rezeki datang bersama usaha yang jujur Jom kerja keras!