Baru-baru ini saya habiskan masa lebih sejam mendengar Buat Saja Podcast yang menampilkan tetamu yang cukup berkarisma iaitu Datuk Jerry Mat Rizal. Podcast ini ada empat episod, tapi bagi saya, episod ke-3 dan ke-4 adalah yang paling mengesankan. Sarat dengan nasihat yang bukan saja praktikal, tapi juga berakar dari pengalaman sebenar sebagai ahli perniagaan dan pemimpin.
Terus terang saya katakan, Datuk Jerry ni bukan jenis orang yang sembang kosong. Gaya dia bersahaja, tapi penuh dengan substance. Walaupun beliau tidak secara terang-terangan menyatakan pendekatan Islam dalam bisnesnya, saya rasa nilai-nilai yang beliau amalkan seperti jujur, elak hutang, jaga amanah dan patuh undang-undang sangat selari dengan prinsip Islam. Kadang-kadang, tak perlu kita laung “Islamik”, tapi cara hidup itu sendiri dah cukup mencerminkan.
Episod 3: Daya Tahan Mental dan Fikiran Pantas
Dalam episod ini, Datuk Jerry tekankan bahawa dalam hidup dan dunia profesional, kekuatan mental dan keupayaan membuat keputusan yang cepat adalah kunci utama untuk bertahan dan berkembang. Kehidupan tak akan lari daripada cabaran, tapi apa yang membezakan kita adalah cara kita menghadapinya.
Beliau berkongsi bahawa memahami keadaan mental diri sendiri sangat penting, kerana dari situlah lahirnya keputusan yang lebih matang dan tindakan yang lebih tenang. Dalam dunia yang serba laju hari ini, kemampuan untuk kekal rasional walaupun tertekan adalah satu kelebihan besar. Mental yang sihat = Tindakan yang bijak.
Episod 4: Stamina dan Ketahanan dalam Dunia Bisnes
Sambungan yang sangat ‘solid’ dari episod sebelumnya. Dalam part ni, beliau menjelaskan bahawa bisnes bukan tentang siapa paling laju, tapi siapa paling tahan lama. Stamina yang beliau maksudkan bukan sekadar tenaga fizikal, tapi emosi, spiritual dan fokus yang berpanjangan.
Beliau juga menyentuh isu hutang dalam bisnes – satu isu yang sangat dekat dengan hati saya juga. Katanya, seboleh mungkin elakkan hutang sebab ada unsur faedah/riba yang bercanggah dengan nilai tertentu. Bina bisnes atas asas yang bersih dan mampan.
Beliau juga menyampaikan satu pandangan yang bagi saya sangat matang. Bahawa agama adalah urusan peribadi, dan tak semestinya semua perkara dalam bisnes perlu diwarnakan dengan elemen keagamaan secara terang. Apa yang lebih penting adalah kita menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dan pemilik bisnes dengan baik – contohnya, bayar cukai, ikut undang-undang, jaga staf, dan lain-lain. Pandangan Datuk Jerry mencuit hati tetapi itulah bentuk IBADAH dalam konteks profesional.
Beberapa point yang saya simpan dalam hati:
-
Generasi pekerja sekarang sangat berbeza, dan pemimpin bisnes perlu ada fleksibiliti dan kepekaan. Kalau nak team yang produktif, kita kena faham dan adapt dengan keperluan dan gaya kerja mereka.
-
Bukan semua orang kerja sebab nak jadi kaya, ramai yang kerja kerana mereka mahukan kestabilan, rasa dihargai dan persekitaran yang sihat untuk kesihatan mereka.
-
Latih staf bukan sekadar bagi modul teori atau training fancy. Apa yang lebih berkesan adalah bimbingan secara praktikal, bawa mereka bersama, tunjuk cara kerja sebenar.
-
Dan yang paling penting, pemimpin kena rajin turun padang. Kepimpinan bukan hanya di meja mesyuarat, tapi juga melalui tindakan dan kehadiran di tengah-tengah team sendiri.
Penutup
Saya juga ada membaca berita mengenai cabaran yang dilalui Datuk Jerry bersama bekas rakan kongsi beliau di Richworks Academy. Bagi saya, setiap bisnes ada naik turun. Harapan saya, semoga kedua-dua pihak menemui titik damai, penyelesaian yang tenang dan memberi kebaikan bersama, insyaAllah.
Secara keseluruhan, saya rasa podcast ini adalah antara yang paling jujur dan menyentuh sisi realiti dunia bisnes dengan matang dan berani. Kalau ada sambungan lain dengan Datuk Jerry, saya pasti orang ramai akan terus dapat manfaat besar.
Saya save podkas ini untuk ditontoni lagi. Terima kasih Datuk J, you are truly inspiring!

Mommy Trader. Aset pilihan utama ialah Metal. Ada sistem sendiri; ringkas tapi disiplin. Saya percaya rezeki datang bersama usaha yang jujur Jom kerja keras!